Enam Isteri Yang Menjahanamkan Suami

Kenyataan bahawa setiap di belakang setiap lelaki yang berjaya itu terdapat seorang perempuan yang bijak dan berjiwa besar merupakan satu kenyataan yang lumrah diterima di mana-mana. Si isteri mempunyai serampang mata dua yang sakit, ia boleh membuat suaminya hidup bersemangat, bercita-cita tinggi, gigih dan ia boleh membuat suaminya menjadi seorang yang lemah, patah hati , tidak percaya diri sendiri, pengecut, ragu-ragu dalam membuat keputusan-keputusan dan bertindak. Sikap dan perhubungan seorang isteri dengan masyarakat juga merupakan satu faktor yang menentukan nama baik suaminya di kalangan orang ramai, kerana tingkah laku sosial seorang isteri tidak boleh dipisahkan dari nama baik suaminya. Dalam kehidupan rumah tangga ada enam isteri yang membawa kesiksaan-kesiksaan jiwa kepada suaminya sehingga membuat mereka tidak bersemangat untuk melaksanakan kejayaan-kejayaan baru dalam hidup.

( 1 ) Isteri yang tidak tahu membuat keputusan Dia seorang isteri yang kaku tanpa inisiatif. Dia hanya tahu menyelesaikan perkara-perkara titik bengik mengenai kepentingan-kepentingan diri setiap hari dan tugas-tugas kecil mengenai hal-hal rumah tangga saja. Selain dari itu seluruh persoalan hidup yang lain dibebankan ke pundak suaminya. Dia tidak mahu mengambil keputusan bagaimana hendak menyusun perabut-perabut rumahnya dengan yang lebih menarik, tidak tahu mengambil keputusan terhadap kelakuan dan tindak tanduk anak-anaknya, tidak tahu membuat anggaran rumah tangga yang wajar dan teratur, tidak tahu membuat sesuatu yang membina terhadap dengan jiran tetangga, sanak saudara dan kawan temannya, malah ia tidak tahu menentukan barang-barang yang perlu dibeli untuk kepentingan rumah tangganya, malah kadang-kadang ia tidak tahu menentukan jenis-jenis masakan yang patut di sediakan hari ini. Segala-galanya dirujukkan kepada suaminya. Pendeknya dia tidak akan bertindak melainkan dengan arahan yang jelas dari suaminya. Suami yang mendapat isteri yang sedemikian terpaksa memikul beban-beban tambahan yang berat di samping pekerjaan hariannya. Ia terpaksa memikul beban-beban rumah tangga serentak dengan beban-beban pejabatnya. Dia selalu saja diganggu oleh pertanyaan-pertanyaan yang tidak putus-putus dari isterinya bagaimana hendak membuat itu dan ini. Akibatnya bukan saja membuang waktu suaminya yang berharga malah menghalangi dari memikirkan sesuatu yang lebih serius dan berguna kepada kemajuan dan kemajuan hidup.

( 2 ) Isteri yang selalu mengomel / berleter Dia selalu tidak puas hati biar apa pun yang dibuat oleh suaminya. Dia mengomel, mengeritik, dan mempersenda semua tindak tanduk suaminya. Segala galanya tidak kena dan ada saja cacat celanya. Suaranya seperti suara nyamuk yang terus menyerang dan menganggu. Dia tidak segan-segan memperkatakan kelemahan-kelemahan suaminya kepada orang lain. Dia seorang yang selalu mementingkan dirinya dan tidak sabar. Dia mahu segala-galanya cepat, sempurna dan memuaskan. Lebih jauh dari itu dia begitu lancang membuat pertandingan-pertandingan yang tidak adil dengan suami-suami orang lain. Untuk mencari hiburan dan ketenteraman, suaminya lebih suka berlabuh di kedai-kedai kopi hingga jauh petang dan jauh malam, dan suka melupakan diri dengan permainan-permainan catur dan daun terup,atau mencari kedamaian pada perempuan-perempuan yang lain atau pada minuman-minuman keras. Seorang suami yang bernasib baik sedemikian tidak lagi mempunyai kegairahan atau inisiatif untuk bekerja keras bagi memajukan hidupnya dan hidup anak-anaknya. Ia seorang suami yang begitu bosan dengan hidupnya.

( 3 ) Isteri diktator Dia seorang isteri yang gila kuasa. Dia melayani suaminya sebagai tawanan atau sebagai kanak-kanak yang kecil. Dia mahu semua keputusannya dipatuhi oleh suaminya dan dia mahu menguasai semua perbelanjaan rumah tangga. Setiap hari terima gaji dia akan menunggu suaminya di muka pintu untuk mengambil semua gaji itu dan mengawal semua perbelanjaan-perbelanjaan suaminya. Setiap kali suaminya pulang dari luar dia akan memeriksa saku suaminya dan meminta laporan kemanakah suaminya akan membelanjakan wang yang diambilnya petang tadi. Dia bukan saja mengawal perbelanjaan suaminya, malah dia menyoal setiap gerak-geri suaminya dan tidak silu-silu mengkritik tindak tanduk suaminya di depan kawannya. Akibatnya si suami itu menjadi seorang yang tidak berperibadi, lemah dan lumpuh di dalam segala-galanya. Dia menjadi bahan ketawa kawan-kawannya dan tentulah suami yang seperti itu tidak mempunyai kesempatan-kesempatan dan dorongan-dorongan yang wajar untuk hidup dengan lebih maju dari kedudukannya yang ada sekarang.

( 4 ) Isteri yang suka campur tangan Dia seorang isteri yang bercita-cita tinggi, tetapi menyalahgunakan kedudukan suaminya untuk melaksanakan cita-cita itu. Dia mahu suaminya naik pangkat dan merasa kewajipan nutuk campur tangan agar suaminya cepat naik pangkat. Kerana itu dia membuat hubungan-hubungan dengan isteri ketua pejabat atau isteri majikan suaminya atau membuat hubungan lansung dengan ketua pejabat atau majikan itu sendiri dengan tujuan untuk mempengaruhi mereka agar suaminya mendapat kenaikan pangkat. Ia tidak sedar bahawa campurtangannya itu merosakkan imej suaminya di mata ketua pejabat atau majikannya dan menimbulkan kebencian pada mereka. Kadang-kadang hubungan lansungnya dengan ketua pejabat dan majikan itu menimbulkan tomahan-tomahan yang menjatuhkan maruah suaminya pada pandangan orang lain .

( 5 ) Isteri yang boros Dia hidup dengan satu anggapan yang salah iaitu tugasnya bukan mencari duit, tetapi membelanjakan duit. Tugas seorang suami ialah mencari duit dan sebagai suami yang tahu harga diri dia harus pandai mencari duit sebanyak yang diperlukan oleh isterinya. Atas anggapan inilah ia memboroskan pendapatan suaminya dengan membelikan barang-barang yang mewah dan mahal seperti alat-alat kosmetik, permaidani, pinggan mangkuk yang tinggi mutunya, dan pelbagai lagi barang mewah yang tidak diperlukanya. Suami terpaksa mencari pendapatan dengan mencari kerja-kerja lebih masa atau melakukan rasuah di pejabatnya untuk membayar bermacam-macam hutang yang meyerabut kepalanya. Biasanya dia tidak berunding dengan suaminya semasa hendak membeli sesuatu barang melainkan barang itu sudah sampai di rumah dan di sana dia akan meletakkan suaminya yang sabar dan lemah itu di depan kenyataan yang pahit. Akibatnya suami menjadi begitu lemah dan lumpuh. Jiwanya ditekan berbagai-bagai kerunsingan yang menjejaskan kecekapan dalam menjalani tugas-tugas hariannya dan tidk lagi mempunyai kesempatan-kesempatan untuk memajukan dirinya.

( 6 ) Isteri sosial Dia seorang isteri yang sentiasa berpakaian cantik. Dianggap kewajipan utamanya bukan terletak di rumah tangga, malah menghadiri pertemuan-pertemuan, majlis-majlis keramaian, melawat rumah-rumah teman dan bergiat dalam berbagai-bagai kegiatan sosial tanpa menghiraukan rumah tangganya. Dia tidak sempat menghiraukan sarapan pagi untuk suaminya, kerana ia masih nyenyak tidur akibat balik jauh malam. Suaminya tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa ikut sama ke mana-mana majlis yang dihadirinya untuk memperlihatkan keperibadiannya sebagai seorang suami yang bermaruah. Untuk memenuhi tuntutan-tuntutan hidupnya yang begitu sosial itu dia terpaksa berbelanja lebih yang memberatkan suaminya. Kemudian dia meyiksakan suaminya dengan membandingkannya dengan suami-suami sahabatnya yang bergaji besar dan mewah dengan tujuan agar suaminya juga berusaha mencapai taraf hudup seperti itu. Oleh kerana suaminya tidak mempunyai asas pelajaran yang sama dengan mereka, maka sudah tentu pemberangsangan itu sia-sia saja, malah membuat suaminya semakin lemah dan oatah semangat dan berakhir dengan kejatuhan-kejatuhan yang menyedihkan. Seorang isteri bukan saja memegang kunci kebahagian dan ketenteraman jiwa suaminya, malah ia memegang kunci kejayaan hidupnya

0 bla bla bla:

 

Ceritera Si Pelangi © 2008. Design By: SkinCorner